Kejadian empangan pecah di tasik Situ Gintung, Daerah Tangerang Indonesia yang mengorbankan 50 jiwa adalah satu malapetaka yang mungkin dapat dielakkan sekiranya kerja penyelenggeraan dijalankan mengikut jadual.
Lapuran awal menyebut bahawa kerja peyelenggeraan tidak dapat dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan kerana ketiadaan peruntukan.
‘Foundation’ empangan lama yang dibina pada awal 1900 semasa Indonesia masih di bawah jajahan Belanja telah dibina tanpa menggunakan bahan konkrit. Hujan lebat yang turun berterusan selama 4 jam sebelum itu telah menyebabkan limpahan air dan memecahkan empangan berkenaan.

Kemusnahan rumah penduduk Gambar:independent.co.uk - reuters
Jika anda mengingat kembali kejadian tanah runtuh yang meranapkan 14 buah bunglow di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember lepas juga berpunca dari hujan yang berterusan selama beberapa hari.
Antara hasil siasatan yang dikemukakan oleh MPAJ adalah tiada peruntukan untuk penyelenggeraan. Tiada peruntukan dana dijadikan alasan dan jalan keluar mudah untuk melepaskan diri daripada bertanggungjawab terhadap kehilangan nyawa dan harta benda.
Apa yang dibimbangkan ialah kesan terhadap perumahan di cerun-cerun bukit akibat dari hujan yang turun pada setiap petang dan telah berpanjangan selama beberapa minggu di sekitar Lembah Kelang.
Jika pihak berwajib yang dipertanggungjawabkan masih tidak membuat pemeriksaan pada cerun-cerun ini ada kemungkinan kejadian sama akan berulang.




