Bila saya terbaca berita ini dari hmetro.com.my perasaan saya bercampur baur antara marah dengan sedih. Marah sebab peniaga hanya mahu mengejar keuntungan tanpa mengambil peduli tentang kebersihan makanan yang dijual dan sedih kerana ianya berlaku di bazar Ramadan di mana peniaganya adalah orang Islam.

Pemadangan di bazar Ramadan BTP Rawang
Islam amat mengutamakan aspek kebersihan jasmani dan rohani. Makanan yang bersih dan halal akan memberi keberkatan kepada jasmani dan rohani manakala makanan yang kotor (termasuk yang haram) akan memberikan kesan sebaliknya. Apatah lagi bila dilapurkan terdapat bakteria E.coli yang berasal dari najis manusia.
Cuba anda bayangkan bagaimana penyediaan makanan tersebut, adakah tangan pengendali makanan tersebut tidak dibasuh bersih selepas buang air besar atau adakah makanan tersebut diletakkan berdekatan tandas ketika penyediaannya? Semua serba mungkin, tapi yang pasti pembeli yang akan menjadi mangsa.
Seharusnya di dalam keghairahan kita mencari juadah untuk berbuka puasa kita perlu memberikan perhatian terhadap aspek kebersihan dalam penyediaan makanan, penjual dan juga persekitaran bazar ramadan, tapi ini yang kita kerap terlepas pandang.
Berita dari hmetro.com.my (verbatim),
Lapan premis di bazar Ramadan Besut diarah tutup
2010/08/30
BESUT: Lapan premis makanan di beberapa buah bazar Ramadan di negeri ini diarah tutup ekoran pemeriksaan ke atas sampel makanan yang dijual didapati melanggar peraturan pengendalian dan diragui kebersihannya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, tindakan itu hasil pemantauan dan penguatkuasaan di 4,339 premis di negeri itu sejak awal Ramadan.
Katanya, ekoran itu pihaknya turut merampas 519 jenis makanan dengan nilai RM2,232 dan sebanyak 27 amaran dikeluarkan kepada pemilik premis serta pengusaha kerana pelbagai kesalahan.
“Antara pelanggaran peraturan yang dilakukan daripada sampel makanan yang dianalisis ialah melakukan pelanggaran mikrobiologi dan sampel makanan tidak menepati standard petunjuk kebersihan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Kampung Raja di sini hari ini.
Beliau berkata, terdapat juga sampel makanan yang dikesan tercemar dengan bakteria E.coli (bakteria yang berasal dari najis) dan bakteria Staphylococcus Aureus yang boleh menyebabkan keracunan makanan.-Bernama




